http://peluangpekerjaanmalaysia.blogspot.com/2011/01/belum-siap-lagi-brother.html

some_text

Tips Temuduga











Fasa Persediaan
1. Bersedia dengan maklumat.
Ramai calon yang menghadiri temuduga tidak mempunyai apa-apa pengetahuan asas sama ada mengenai jawatan yang dipohon (jika temuduga untuk pengajian, tentulah maklumat mengenai bidang pengajian) dan juga maklumat mengenai organisasi yang bakal mengambilnya berkerja. Bila di tanya “apa yang anda tahu tentang (jawatan) dan (organisasi)?” maka mereka jadi kelu untuk menjawab. Kumpul dan fahami segala maklumat hasil dari “research” anda. Kaji asal-usul syarikat, misi syarikat, cawangan, modal berbayar serta keuntungan pada tahun perakaunan yang lepas. Tidaklah perlu menggali rahsia syarikat, hanya cukup sekadar pengetahuan umum sahaja.
2. Fokus minda.
Sehari dua sebelum temuduga berlangsung, minda harus bersedia. Anggaplah temuduga itu suatu sesi ujibakat yang mana anda akan keluarkan semua kebolehan dan kecekapan. Jika sesekali anda berasa gemuruh dan berdebar, itu kerana minda dalaman anda berasa takut. Jangan takut. “Face the fear”. Jika anda menghadapi temuduga dengan keseronokan seumpama sesi perkenalan antara satu sama lain, percayalah anda mampu untuk menghadiri sesi temuduga dengan baik, walau 10 kali dalam sehari.
3. Persiapan penampilan.
“Nak pakai apa masa temuduga? Seluar jeans boleh tak? Tak biasa la pakai kemas-kemas ni.. Tali leher tak ada la..” Temuduga yang rasmi mempunyai sistem pemarkahan untuk penampilan dan pemakaian, jadi jangan abaikan aspek ini. Untuk pengetahuan anda, jarang ada manusia yang betul-betul membuat penilaian pada hati. Selalunya impresi pertama ialah pada zahir. Persiapkan diri dengan memotong kemas rambut, dan jambang jika ada. Jika boleh, cukur jambang anda untuk kali ini. Jambang sentiasa tumbuh, anda bila-bila masa boleh kembali pada imej anda setelah diterima berkerja nanti. Kod pakaian rasmi untuk temuduga ialah:
  1. Kemeja putih berlengan panjang (jangan lipat lengan baju semasa sesi temuduga).
  2. Bertali leher. Tali leher yang kosong tidak bercorak adalah lebih baik. Elakkan dari memakai tali leher yang “fancy” seperti bergambar “Donald Duck” atau “Tasmanian Devil”.
  3. Seluar slag berwarna hitam atau berwarna gelap.
  4. Kasut berwarna hitam atau gelap tanpa tali. Kasut kulit adalah lebih baik.
Sediakan perkara-perkara yang telah disebutkan, jika tiada, mesti beli. Tidak perlu mahal-mahal, belilah mengikut kemampuan budget anda. Budget kurang, pinjam sahajalah baju kawan-kawan.
4. Solat hajat di malam hari.
Kenapa menghadapi segalanya seorang diri, sedangkan Tuhan sudah berjanji memberi pertolongan kepada yang meminta? Berdoalah pada Tuhan agar memberi anda kejayaan, dengan melakukan solat hajat yang khusus untuk tujuan ini di malam hari. Kenapa waktu malam? Kerana waktu malam suasananya bebas dari bunyi-bunyian yang menganggu konsentrasi dan kekusyukan ibadat. Waktu malam ibarat seperti harta karun kerana pada waktu sepertiga akhir malam, rahmat Tuhan turun pada langit dunia. Di waktu itu Tuhan berseru pada hamba-hambanya, “Manakah orang-orang yang meminta, Aku hendak memperkenankan. Manakah orang-orang yang mohon keampunan, Aku hendak ampunkan”. Nah, kalau Tuhan sudah “offer” kepada kita seperti itu, rugilah kalau kita tidak rebut peluang ni.
Pada Hari Temuduga
1. Bersiap awal.
Bangun awal sebelum waktu subuh lagi, memadai jika sempat untuk solat tahajud dan solat hajat. Solat subuh, berjemaah di masjid jika boleh (sangat besar ganjarannya). Pastikan baju dan seluar telah disterika pada malamnya lagi termasuklah sijil-sijil anda diletakkan dalam “certificate holder” dengan kemas dan rapi.
2. Bertolak awal dari rumah.
Sangat penting jika anda tinggal di kawasan yang keadaan trafiknya sesak. Kehadiran lewat untuk temuduga adalah sangat tidak boleh diterima.
Semasa sesi temuduga.
1. Bersikaplah dengan sopan santun.
Persembahkan budi bahasa anda. Ingat, penemuduga tidak mengenali anda sebelum ini, jadi sikap sopan santun sangat penting untuk impresi pertama disamping pemakaian kemas. Beri salam selepas mengetuk pintu bilik temuduga. Jika terdapat salah seorang daripada penemuduga ialah bukan beragama Islam, berikan ucapan selamat pagi atau selamat sejahtera kepadanya. Ini menunjukkan yang anda bersikap menghormati setiap penemuduga walaupun berlainan agama. Hulurkan tangan untuk bersalam (jika sesuai).
2. Petah bercakap.
Elakkan dari “sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab”, tetapi bukanlah bermaksud anda bercakap tanpa henti. Soalan yang ditanya oleh penemuduga sebenarnya untuk memulakan perbualan. Melalui perbualan itulah anda dinilai dari segi pengetahuan, kebolehan dan kesesuaian. Jadi, bagaimana penemuduga hendak melakukan penilaian jika anda “sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab”. Tidak berguna walau sijil anda cemerlang.
3. Jawab apa yang ditanya.
Apa yang anda perkatakan mestilah kena pada topik soalan. Jangan melencong. Jika ditanya pasal lejer akaun, jangan pula menceritakan hobi anda.
4. Pandang mata.
Semasa bercakap lakukan “eye contact”. Jangan memandang kearah lain semasa bercakap dengan seseorang kerana biasanya orang yang bercakap bohong akan memandang kearah lain semasa mengeluarkan kata-kata.
5. Mesrakan diri.
Bukanlah bermaksud anda berkenal-kenalan dengan penemuduga sehingga anda bertanya anaknya dapat berapa A dalam UPSR. Memadai jika anda merasakan dalam diri anda perasaan mesra, kerana ia akan terpancar melalui riak wajah dan kata-kata.
6. Akhirnya.
Bila penemuduga memberitahu temuduga telah selesai, ucapkan terima kasih dan hulurkan tangan untuk bersalam dan ucapkan salam sebelum beredar.
Petua Istimewa Untuk Temuduga.
1. Sebelum turun dari rumah, baca ayatul-kursi dan mulakan langkah dengan kaki kanan dahulu.
2. Sebelum hendak masuk berjumpa dengan penemuduga, baca ayatul-kursi, bila sampai pada kalimat “ya-uduhu”, ulang kalimat ini 3 kali. Kemudian teruskan membaca sampai akhir. Selesai baca, tiup pada tapak tangan dan sapu ke muka.
Klik untuk besarkan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Kamus BM-BI/BM-BM